AS kutuk China ceroboh ruang udara Malaysia

SYDNEY: Komander Pasifik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) mengutuk tindakan pesawat tentera China yang terbang berhampiran Malaysia dan Taiwan.

Sejumlah 16 pesawat tentera China terbang di perairan yang menjadi rebutan pelbagai negara berhampiran Borneo baru-baru ini, yang memaksa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengerah pesawat pejuangnya untuk membuat pintasan.

Jeneral Kenneth Wilsbach berkata, aktiviti penerbangan tentera China itu serta peningkatan jumlah pencerobohan zon pertahanan udara Taiwan, menambah senarai aktiviti China yang menggugat kestabilan dan meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

“Kita hanya membuat perkiraan yang salah di rantau berkenaan dengan aktiviti seumpamanya, khususnya masuk ke ruang udara pihak lain,” katanya pada Jumaat.

Beijing menuntut Taiwan sebagai sebahagian wilayah China dan menegaskan pesawatnya yang terbang berhampiran Borneo di Laut China Selatan, sedang menjalani latihan rutin dan tidak memasuki ruang udara Malaysia.

Beijing tidak mengendahkn keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang mengisytiharkan tuntutannya terhadap hampir semua Laut China Selatan adalah tanpa asas.

Ketika ini, wujud kebimbangan dalam kalangan negara Barat bahawa pasukan tentera China yang semakin berkuasa, akan cuba merampas Taiwan menggunakan kekerasan.

Sejak beberapa bulan lalu, kekerapan penerbangan pesawat China di rantau itu meningkat secara dramatik, yang mengancam keupayaan pertahanan udara Taiwan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *