Ahli Parlimen diberi taklimat isu tuntutan Sulu

KUALA LUMPUR: Satu sesi taklimat tertutup kepada Ahli Parlimen akan diadakan pada jam 8.30 malam ini, di sebuah hotel di sini, berhubung isu tuntutan daripada pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata taklimat itu akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di JPM (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Semalam, saya percaya semua Ahli Parlimen di blok pembangkang dan Bebas menerima surat jemputan daripada Menteri di JPM.

“Tiga menteri akan memberi penjelasan dan taklimat. Selepas itu, kami akan adakan sesi soal jawab. Bagaimanapun, ini adalah satu taklimat tertutup,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, keputusan yang ditetapkan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan, Dr Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Nie Ching berkata, beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan surat berkenaan kerana surat itu dicop sebagai rahsia.

Bagaimanapun, beliau turut mempersoalkan mengapa taklimat itu diadakan di hotel, sedangkan ia boleh diadakan dan dibahas di Dewan Rakyat.

“Dewan Rakyat adalah platform terbaik untuk kita mendengar taklimat dan penjelasan daripada Menteri. Isu ini sangat besar bukan hanya di hati orang Sabah tetapi juga di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Foong Hin berharap, satu sesi formal iaitu perbahasan akan diadakan selepas sesi taklimat itu, yang akan tercatat dalam hansard Parlimen.

“Saya hargai niat suci kerajaan tapi saya harap kita tidak berhenti di sini. Malam ini, saya akan ambil kesempatan untuk memujuk mereka supaya sekurang-kurangnya menerima usul Ahli Parlimen Putatan (Awang Husaini Sahari), yang mana kita akan minta untuk berdebat mengenai sebab kita menghentikan bayaran (kepada waris Sultan Sulu) sejak 2013, tidak termasuk isu di mahkamah,” katanya.

Isnin lalu, Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati mengenai usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Azhar menjelaskan, beliau menolak usul berkenaan kerana ia bersifat subjudis dan semalam, beliau berkata, perbahasan usul itu boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *